June 06, 2013

Bukan susah pun nak solat...

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, untuk mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Penghayatan daripada parents perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat itu sendiri menjadi darah daging anak-anak kita nanti. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil juga bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya.

Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian akademik lain di dalam hidup anak-anak. Kerana bila kita nak mengajar anak yang paling penting terlebih dahulu ialah 
1. Agamanya
2. Akhlaknya
3. Baru diikuti dengan akademiknya.
Kita memang selalu mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat dari sekarang, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita agaknya?
So, just nak kongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, semoga  ianya bermanfaat!

Bila tengok keletah anak-anak solat memang kena banyak sabar, kadang2 sifat sabar itu hilang juga. Tapi balik pada hajat sebenar untuk mendidik anak-anak solat.
Membiasakan anak-anak dengan solat
Pada umur 0-2 tahun
Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil
Hamzah yang berusia 2 tahun, pandai mengangkat tangan & mengaminkan doa. Alhamdulillah.
Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar". Alhamdulillah, Hamzah yang kecil ini boleh faham bila kami hendak solat dia akan buat hal dia sendiri. Kadang-kadang terdengar banyak kali dia ungkapkan 'Allahuakbar'. SubhanaALLAH...pandai anak Ummi. Tapi itulah perkataan pertama Hamzah. MasyaALLAH...
Pada umur 2-4 tahun
Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu zohor, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita. Ajar mereka cara berwudhu' yang betul mengikut turutannya. Kadang-kadang Abang Muadz yang banyak mengingatkan & membetulkan adiknya Umar apa seterusnya selepas membasuh muka, tangan dan sehingga habis.
Umar & Muadz sedang menanti waktu azan solat Zohor selepas habis kelas homeschool
Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat."Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat.
Hamzah suka pakai songkok sebab dah selalu dipraktikkan. Comelkan dia?

Bawa anak ke masjid, jika ada waktu terluang.
Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mengikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakaat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ummi hari ni, adik ikut ummi solat!"
Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.
Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat." Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.
Mengajar anak solat
Umur 5-6 tahun
·         Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Walaupun saya membuat homeschool saya sendiri tapi sentiasa saya tekankan untuk mereka bersolat sama-sama. Selalunya Abang Muadz sahaja yang betul-betul ikut solat walaupun banyak pergerakan yang dia lakukan. Tapi saya anggap usaha yang dia buat sudah cukup bagus. Sejuk hati tengok mereka solat, biarlah berpanjangan. InshaALLAH.
Imam: Anas, Ma'mum: Muadz & Umar di belakang 
Praktikal solat yang saya lakukan sangat membantu anak-anak belajar solat. walaupun mereka belum bersunat lagi, tapi saya akan cuba suruh mereka solat bersama & abang Muadz akan menjadi Imam di depan. Muadz ada pakcik yang sama usia dengannya(Anas) yang sudah pun bersunat, Alhamdulillah bolehlah Anas jadi imam untuk mereka bila bersolat di rumah.  
Selepas solat saya ajarkan mereka untuk bersalam & cium pipi  orang yang lebih tua or vice verse. Saya akan mencium & peluk anak erat supaya mereka rasa dihargai.
·         Sesekali ajaklah mereka ke masjid  atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.
·         Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan  solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.
·         Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.
·         Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.
·         Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.
Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.
Boleh juga berikan kad ucapan tahniah disebabkan mereka bangun & bangkit untuk subuh selapas dikejutkan.
·         Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka.
·         Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.
·         Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : "Adik dah solat?" selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.
·         Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.
Bersama memupuk istiqamah
Umur 7-10 tahun


Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"
Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.
Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.
Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat
Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!
Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakan kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat. 
Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci.
Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku (anak2) daripada golongan2 yang soleh. Amin...
Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.
-Teacher Nanie

Kredit link.

No comments:

Post a Comment

Ada sebarang pertanyaan? Please ask in the comments or tweet me, feel free to follow my twitter @teachnanie and instagram @teachnanie, inshaALLAH I’ll try to answer it. Thanks