Kebanyakan ibu bapa inginkan anak-anak mereka sentiasa bijak, cerdas, dan bijaksana. Mereka mengimpikan agar anak-anak mereka akan menjadi seorang yang berpotensi dan berwawasan apabila dewasa kelak. Tiada seorang pun ibu bapa yang mengharapkan anak mereka menjadi orang yang tidak berguna dan membebankan masyarakat. Pembentukan potensi kanak-kanak mestilah bermula dari mereka kecil lagi. Ianya seperti kain putih bersih yang bakal kita akan warnakan & corakkan nanti.
Beberapa tips yang dapat membantu kita sebagai ibu bapa untuk membentuk potensi anak-anak, antaranya dengan memulakan hidup anak kita dengan nama panggilan yang baik. Dalam Islam sendiri nama yang baik adalah amat digalakkan dan ia menunjukkan rasa hormat kita pada mereka. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak kita berasa malu dan rendah diri. Berilah nama panggilan yang manja, supaya wujud dalam diri mereka yang mereka dihormati dan disayangi.
Ada pendapat yang mengatakan anak-anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk. Oleh sebab itu, berikanlah anak kita pelukan setiap hari. Hal ini dapat mewujudkan hubungan yang lebih mesra dan intim antara ibu bapa dengan anak-anak. Pandangan atau renungan daripada ibu bapa terhadap anak-anaknya akan membuatkan mereka menjadi lebih yakin untuk melakukan sesuatu. Pandanglah anak-anak dengan pandangan yang penuh dengan kasih sayang. Dengan cara ini sebenarnya membantu dalam membentuk keyakinan dalam diri mereka untuk berhadapan dengan persekitaran.
Berikan peneguhan setiap kali anak kita berbuat kebaikan. Sebenarnya dengan memberikan pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikkan yang mereka lakukan. Ini menunjukkan bahawa kebaikkan yang mereka lakukan adalah sesuatu yang betul dan ini membantu menggalakkan lagi mereka untuk berbuat kebaikan. Janganlah mengharapkan anak kita yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan. Sebagai kanak-kanak yang sedang berkembang mereka tidak terlepas dari membuat kesilapan. Mungkin hari ini mereka melakukan kebaikkan tetepi keesokan harinya mereka melakukan kenakalan, ia merupakan sesuatu yang biasa berlaku dalam dunia perkembangan kanak-kanak. Ini bersesuaian dengan sikap kanak-kanak yang sentiasa ingin mencuba dan membuat kesilapan.
Sebenarnya kebanyakkan ibu bapa tidak sedar bahawa keluhan yang mereka keluarkan mampu membuatkan anak-anak merasa mereka membebankan. Jadi sebagai ibu bapa janganlah kita mengeluh dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Ini kerana anak-anak yang sedang membesar mempunyai jiwa yang sensitif. Sebagai seorang kanak-kanak yang aktif, anak-anak kita gemar bercerita apa sahaja yang mereka lalui dalam kehidupan seharian. Mungkin terdapat diantara anak-anak kita yang sentiasa bercerita aktiviti yang mereka lakukan di sekolah. Dengan itu, belajarlah untuk jadi ibu bapa yang prihatin. Sentiasalah berikan mereka ruang untuk bercerita apa sahaja, dan sebagai ibu bapa jadilah seorang pendengar yang setia. Jangan cuba untuk menyampuk ketika mereka rancak bercerita, dan tunggulah hingga giliran kita untuk bercakap. Ini akan mengajar anak kita tentang giliran untuk bercakap.
Seperti orang dewasa adakalanya anak-anak inginkan kejutan daripada ibu bapa mereka. Buatlah sambutan untuk menyambut hari kelahiran mereka. Sediakanlah hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak kita belajar menghargai. Jemputlan rakan-rakan anak untuk meraikan bersama sambutan tersebut, hal ini memberikan mereka rasa bangga bahawa mereka mempunyai ibu bapa yang sentiasa sayang dan mengingati mereka. Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan ibu bapa mereka.
Belajarlah untuk menghargai permainan kesayangan anak-anak. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan kita. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
Tugas ibu bapa bukan hanya memberi makan pakai sahaja, tetapi haruslah menitikberatkan perasaan, emosi anak-anak, curahan kasih sayang untuk menyuntik semangat & mendorong anak untuk terus berjaya dalam hidup. Kita sebagai ibu bapa juga tidak akan pernah terlewat untuk berubah melainkan kalau kita sentiasa memberi pelbagai alasan untuk merubah diri kita sendiri sebagai ibubapa yang terbaik buat mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Selepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" di mana yang hendak dipukul itu? Tapak kakinya, bukan muka, punggung, telinga dan di tempat-tempat yang sensitif, itu salah.”
Jadikanlah sabda Rasulullah ini sebagai pegangan dan panduan dalam mendidik anak-anak. Perkembangan minda anak-anak semasa kecil adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencoraknya. Jika hitam kita mencoraknya maka hitamlah ia, dan jika putih cara coraknya maka putihlah ia. Ini kerana anak-anak itu ibarat kain yang putih dan kita sebagai ibu bapa yang menentukannya.
-Teacher Nanie
No comments:
Post a Comment
Ada sebarang pertanyaan? Please ask in the comments or tweet me, feel free to follow my twitter @teachnanie and instagram @teachnanie, inshaALLAH I’ll try to answer it. Thanks