May 29, 2013

Sentiasa Berlaku Adil dengan anak

Dalam keluarga, di kalangan anak-anak. Sekiranya hanya abang atau kakak yang dimarahi dan disuruh mengalah, itu tidak adil. Itu menang-kalah. Adik menang, abang / kakak kalah.





Jika adik merampas barang abang / kakak, kemudian ibu / ayah menegur adik. Adik merajuk. Biarkan sahaja dia merajuk.

Jika dipujuk dengan, “Abang / kakak, berilah adik barang itu. Biar dia diam.”

Maka, abang / kakak akan tertekan kerana barang kesayangannya dalam tangan adik, yang berkebarangkalian dirosakkan.

Dan adik pula akan merasa menang, dan sentiasa akan rasa dia patut menang dan abang / kakaknya perlu sentiasa kalah.

Dan adik, apabila dibiasakan menang, maka tiada lagi rasa belas kepada abang / kakaknya. Kerana dalam mindanya sudah ada tetapan,

Apa pun yang berlaku, hak aku atau bukan hak aku, jika aku mahu, pasti ibu dan ayah akan menyebelahi aku!

Jika adik tidak dapat, dia akan melenting.

Bila dia melenting, ibu dan bapa akan bingung.

Bila ibu dan bapa bingung, maka abang / kakak harus mengalah supaya adik berhenti melenting.

Akhirnya?

Abang / kakak berasa tiada siapa kisah perasaannya.

Maka alangkah lebih baik apabila ada sistem penggiliran.

Beli satu barang, kongsi dua tiga orang. Latih dengan TEGAS, penggunaan barang secara giliran.

Jika tidak mahu bergilir, jatuhkan hukuman yang berpendidikan.

Juga, boleh beri mereka berfikir dan buat pilihan. Contoh; jika adik tegar mahu abang / kakak mengalah, beritahu dia, “Baik, adik ambil itu. Ibu / ayah akan berikan yang baharu untuk abang / kakak.”

Biar adik buat pilihan.

Jika selepas dia memilih untuk terus mengambil barang abang / kakak, tetapi mahu juga barang baru yang diberi kepada abang / kakak, beri peringatan kepadanya tentang pilihan yang telah dia buat. Ini didikan supaya dia bertanggung jawab atas pilihan yang dia sendiri telah lakukan. Situasi ini memerlukan ketegasan ibu bapa supaya adil dan saksama.

Ya, ia kelihatan tidak mudah. Kerana ia tidak pernah dilakukan.

Tiada apa yang mudah sekiranya ia tidak dilakukan dan dibiasakan.

Mahu lakukan atau biasakan, terpulang kepada pilihan yang dibuat.

Cermin diri, tanya hati.

Bukan soalan “Mengapa anak aku jadi begini?” yang perlu ditanyakan.

Tetapi, “Apa yang telah aku lakukan, apa pula yang tidak aku lakukan, sehingga anakku jadi begini?”

Sikap anak-anak kecil, adalah acuan yang dicipta oleh ibu bapanya.

Sikap anak-anak kecil, adalah gambaran sikap ibu bapanya.

Sikap anak-anak kecil, adalah hasil didikan ibu bapanya.

Pilihan ada pada diri kita sendiri; sama ada mahu hasil yang baik untuk sehari sahaja, atau hasil yang baik untuk bertahun-tahun kelak.

Syukur, Tuhan beri saya dan adik-beradik saya, ibu bapa yang sentiasa berusaha semampu mereka untuk berlaku adil kepada kami berempat.


Just sharing :)


No comments:

Post a Comment

Ada sebarang pertanyaan? Please ask in the comments or tweet me, feel free to follow my twitter @teachnanie and instagram @teachnanie, inshaALLAH I’ll try to answer it. Thanks